Daisypath Graduation tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Graduation tickers

Tuesday, October 25, 2011

JujuRLaH TeNtanG MaTa......

Jauh di benak seorang optometri, hati kecilnya membisikkan ' Pak cik boleh tipu saya, tapi mata pak cik tidak pernah menipu saya'.

Gambar hiasan.

Post ini adalah berkaitan dengan rasa kekecewaan anis dengan sikap segelintir orang kita ini. Anis telah berjumpa beberapa orang pesakit dengan komplikasi masalah sistemik seperti kencing manis dan darah tinggi. Pengambilan sejarah pesakit atau history taking adalah amat penting. Tetapi apabila ditanya mengenai tahap kesihatan sekarang, semuanya 'under-controlled', bagus selepas terapi yang dijalankan dan sebagainya.

Apa yang anis nak kongsikan kali ini adalah, jika anda 'menipu' atau tidak jujur sekali pun, apa yang pasti mata anda tidak akan berbuat begitu. Daripada keadaan mata sahaja, ia sudah banyak mengambarkan sedikit sebanyak apa yang dihadapi oleh seseorang pesakit itu. Mata boleh diumpamakan seperti 'tingkap' bagi kesihatan badan kita sebenarnya. Apa yang anis maksudkan?

Seperti pesakit ini, beliau mengatakan kecing manis yang dihadapi oleh beliau adalah baik dan baru sahaja dihadapi, tidak sampai 3 tahun. Namun tahukah apa yang dapat dilihat pada mata pesakit ini. Mata memang selalu jujur. Melalui mata, anis dapat lihat beberapa tanda apa yang dikatakan tadi adalah tidak benar.

1. Bukti 1: Salur darah pada kawasan anak mata iaitu pada kawasan sekeliling anak mata. Ini berlaku kerana mata sudah begitu 'stress' untuk mendapatkan oksigen. pertumbuhan salur darah baru daripada belakang mata ini akan masuk ke kawasan di iris mata pula. Sebenarnya keadaan begini amat serius kerana ini menyumbang kepada salah satu sebab yang boleh memebawa kepada penyakit kebutaan mata yang lain iaitu glaukoma.

Salur darah yang baru tumbuh di kawasan iris akibat kurang oksigen di dlaam mata.

2. Bukti 2: Mata pak cik kabur sudah lama, bukan sebab kencing manis. Kencing manis atau diabetes mellitus ini memang bukan penyakit yang menyerang seperti sakit serangan jantung. Ianya penyakit 'senyap dan berterusan'. Jika mata mulai kabur dan kadang kala sahaja ianya menjadi kabur, ianya juga salah satu tanda yang baik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan atau aras gula dalam darah. Jangan tunggu tahap pengsan dan koma barulah didiagnos anda ada kencing manis. Waktu itu, maksudnya segalanya sudah terlambat.

Penumb uhan selaput dalam mata akibat kencing manis atau digelar sugar cataract.

Jika selaput ini sedang berkembang di dalam mata, penglihatan akan kabur.

3. Bukti 3: Kencing manis pak cik baru sahaja. Ya, pak cik. Kencing manis ini memang masih baru. Tapi ianya baru didiagnos, bukannya baru dihidapi. Belakang mata akibat kencing manis lebih daripada 5 tahun biasanya ada pendarahan belakang mata dan juga bengkak di belakang mata.

Pendarahan dan bengkak di belakang mata yang dihadapi oleh pesakit dengan kencing manis yang boleh menyebabkan kebutaan.

Bukti 4: Kelopak mata menjadi semakin jatuh. Mata salah satu organ yang bersambung terus dengan otak. Jika berlaku sesuatu di mata, mungkin ianya sesuatu yang amat membahayakan. Ini menunjukkan ada kaitan dengan saraf yang bersambung dengan otak. Salah satu tanda kencing manis yang teruk adalah kelopak mata menjadi jatuh atau ptosis. Pertumbuhan salur darah baru di otak akibat kencing manis ini akan menekan salah satu saraf yang menghubungkan mata  dengan otak iaitu di kelopak mata. Jika anda ada kencing manis, bangun pagi, anda ada kelopak mata jatuh ini, rujuk pakar dengan segera.

Kelopak mata jatuh ini bukan perkara biasa, ianya berkaitan dengan saraf di otak.

Mata adalah salah satu pancaindera yang tidak ternilai harganya. Selain itu, ianya juga merupakan anugerah daripada Maha Pencipta utnuk dijaga dan dipelihara. Sebarang kecelaruan kesihatan pada badan sedikit sebanyak akan menjejaskan mata juga. Jagalah kesihatan anda, sekali gus kesihatan mata anda juga akan terjaga. Jujur adalah sikap yang murni, jangan takut utnuk berkata benar walaupun ianya pahit. Berkata benarlah terutamanya tentang kesihatan diri anda.

Sekian terima kasih.

Sunday, October 23, 2011

MencaRi PosiSi TerBaiK UnTuK BeLaJaR???

Posisi untuk belajar dengan tenang...mana satu adalah anda????

Termenung sejenak sambil tersenyum. Bukan apa, anis tersenyum kerana melihat gambar di atas dan teringat pula telatah kawan-kawan yang sedang belajar. Mungkin ada mempunyai dilemma ini, iaitu dilemma mencari posisi terbaik untuk belajar.

Belajar yang berkualiti adalah belajar keadaan yang senang. Ada mengatakan belajar ini biarlah berkualiti, bukannya pada kuantiti. Tapi tahukah anda, belajar berkualiti itu berasal daripada kuantiti belajar yang banyak. Wallahualam.... Sebut sahaja belajar, ada yang kata mood baik itu penting. Begitu juga dengan posisi atau kedudukan badan anda. jom kita teliti gambar ini....

Ini merupakan posisi yang agak popular di kalangan para pelajar untuk membaca buku.

Apakah kaitan gambar ini dengan kualiti belajar? Ya ada fakta di sebalik posisi belajar ini. Anis suka bincangkannya daripada sudut fungsi mata. cuba kita lihat jadual di bawah ini.

 adakah anda setuju???

Apakah faktanya?? Begini ceritanya.....

Jika anda di dalam golongan C dan F, anda mungkin anda setuju dengan saya. Anda cuma mungkin paling lama boleh bertahan untuk membuka mata dan belajar adalah kurang dengan setengah jam, selepas itu anda berakhir dengan tidur. Bagaimana ianya berlaku???

Kedudukan mata semasa melihat jauh berbanding kedudukan mata semasa melihat dekat.

Ini kerana, faktor kedudukan mata anda ketika membaca semasa baring tersebut. Jika anda sedang baring, mata anda akan berada pada kedudukan seolah-olah anda melihat jauh. Namun begitu, ianya berbeza dengan keadaan mata anda semasa melihat dekat atau membaca. Mata akan berada pada kedudukan masuk sedikit berbanding utnuk melihat jauh. 

Kedudukan mata jika dalam keadaan baring, seolah-olah melihat objek yang jauh.

Kedudukan mata jika membaca, seolah-olah melihat objek yang dekat.

Mata menjadi cepat penat dan mengantuk kerana jika membaca sambil baring otot mata akan membuat kerja yang kuat. Otot mata yang sebenarnya di kedudukan mata seperti melihat objek yang jauh kini perlu bekerja kuat untuk memfokuskan bahan bacaan iaitu membawa mata seperti keadaan ke dalam sedikit (converge). Otot mata yang berkerja kuat ini cuma dapat bertahan buat suatu jangka masa sahaja, selebihnya jika ia berterusan, mata akan letih dan tertidur.

Mata akan berkerja kuat untuk memfokuskan bahan bacaan dalam keadaan baring.

Berbanding dalam situasi A,B,D dan E, anda tidak dikira dalam situasi baring. Mata memang bertindak tnuk masuk ke dalam sedikit (converge) untuk membaca bahan bacaan. Otot mata tidak perlu berkerja keras untuk memfokuskan pada bahan bacaan. Disebabkan faktor itulah, jika anda dalam golongan ini, anda mungkin dapat bertahan lama sedikit berbanding golongan C dan F. 

Namun begitu, untuk posisi yang terbaik semasa belajar, optometris tidak menyarankan anda untuk baring dan seumpama dengannya. Ini kerana, semua posisi yang di berikan contoh di atas adalah tidak begitu sesuai utnuk belajar dengan berkualiti. Cara terbaik adalah duduk di meja dengan pencahayaan yang cukup. Itu yang terbaik. 

Selamat mencuba, sekian terima aksih.




BeR'bengKeL' BeRsaMa HoYa

Hujung minggu ini cukup bermakna buat seorang pelajar optometri tahun akhir ini. Anis diundang untuk menghadiri bengkel bersama pembekal no.1 kanta untuk kaca mata di Malaysia ini iaitu Hoya. Bengkel yang bermula daripada 8.00pagi hingga 5.00 petang ini adalah bertujuan utnuk mendedahkan para pelajar ini tentang maklumat yang optimum tentang produk terkini jenama ini.

Pendedahan produk Hoya

Untuk pengetahuan semua, setiap pelajar optometri tahun akhir di UKM ini akan selalu diundang ke majlis seumpama ini untuk memantapkan pengetahuan tentang produk berkaitan dengan kanta kaca mata ini. Apakah yang dipelajari sepanjang bengkel ini??

Menunggu di lobi hotel.....

Untuk bengkel bersama Hoya ini, majlis dijalankan di Hotel Grand Season Kuala Lumpur. Antara intisari bengkel ini adalah ceramah daripada wakil syarikat dan juga kuiz bagi setiap ceramah yang diadakan.  Apa yang paling istimewa adalah makanan yang disediakan adalah lazat semuanya.

Bengkel dan makan...tidak dapat dipisahkan....

Di bengkel inilah kami didedahkan akan teknologi terbaru di sebalik kanta yang selalu kami berikan kepada pesakit. wah memang canggih. Setiap rekabentuk kanta adalah khas untuk sesuatu fungsi sahaja. Dsini kami belajar mengenai kanta yang sesuai untuk pelbagai pekerjaan yang khas seperti doktor gigi, para guru, sehinggalah kepada tauke kedai..hahahaha. Hebat kan????

Ceramah yang diberikan oleh wakil Hoya...

Dengar ceramah Hoya, pakai produk Hoya...

Mungkin ramai yang bertanya apakah keistimewaan jenama ini??? Anis syorkan kanta ini kerana ketelitian pembuatan kanta dalam istilah 'coating' atau perlindungan pada kanta kaca mata. Coating yang dimaksudkan termasuklah perlindungan anti-silau, tahan calar dan sebagainya.

Bergambar kenangan sebelum makan.

Bengkel ini meninggalkan sejuta kenangan dan manfaat yang terima juga. Kami amat berterima kasih kepada Syarikat Hoya atas kesudian untuk menjemput kami ke majlis ini. Semoga majlis ini akan diadakan pada masa-masa akan datang lagi.

Bergambar kenangan bersama rakan bengkel yang lain sebelum bersurai.

Semoga jumpa lagi.~~~~sayonara.

Saturday, October 15, 2011

AnTaRa FaKta DaN PenDaPat Di SeBaLik CeRiTa KanTa SenTuH 'TeRBaKaR'

Sejak kebelakangan ini, tersebar hebat di laman sosial tentang kisah kanta sentuh terbakar. Ramai yang bertanya kepada anis tentang kesahihannya. Anis tidak tahu di mana kisahnya bermula, ianya satu realiti atau sebaliknya...wallahualam. tetapi apa suka anis katakan di sini, post ini tiada kaitan tentang individu tersebut, ini cuma sebagai perkongsian mengenai fakta dan pendapat peribadi anis sahaja. Berikut adalah antara persoalan yang diajukan dan jawapan yang tulus daripada anis......

Gambar daripada laman sosial.

Soalan 1: Kanta sentuh diperbuat daripada plastik???

Jawapan: Sejarah menunjukkan penemuan kanta sentuh ini sudah bermula sejak zaman Tamadun Islam lagi. Pada zaman itu, terdapat saintis ulama seperti Al-Razi (864-930 masehi), Al Hazen (965-1040 masehi) dan juga ibnu sina (981-1037 masehi) telah banyak mengkaji tentang mata dan pembuatan kanta sentuh ini. Kajian diteruskan oleh Leonardo Da Vinci, Rene Decartes, John Herschel, William White Cooper, Xavier Galezowski. Namun, pada zaman adolf Fick, mereka cuba rekaan kanta sentuh daripada kaca. Namun dicuba pada haiwan sahaja dan eksperimen tidak berjaya. Kemudian De Sulzer pula mencipta 'scleral shell' yang berisi air pula. Kemudian Hendry Dor dan Thomas pula mencipta 'hidroradiuskop' untuk mata iaitu kanta dengan saline di dalamnya. Kemudian barulah muncul Polymethylmethacrylate (PMMA a.k.a P doubleM A) material yang dicipta oleh ICI pada 1934 untuk dijadikan kanta sentuh. Kemudian satu muncul pula material poly hydroxylethylmethacrylate (PHEMA) yang mengandungi 38.5% air pada 1954. Selepas itu, ada pula material kanta sentuh daripada hydroxylethylmethacrylate (HEMA) dicipta pada 1961 dan kemudiannya dibeli oleh Baush and Lomb untuk dijadikan kanta sentuh jenis Soflens pada 1971. oleh sebab material HEMA kurang meyerap oksigen, jadi diganti dengan material lain iaitu silikon hidrojel dan merupakan material yang terbaik setakat ini. Pada 1995, Jepun mencipta material kanta sentuh daripada kopolimer siloxanylstyrene dan fluoro-methacrylate dan kini dijual dengan nama Menicon Z. Jadi, dominasi pasaran sekarang dan yang terbaik adalah kanta sentuh daripada silikon hidrojel dan juga Menicon Z.

Cewah panjang cerita...bukan apa, anis cuma hendak terangkan bagaimana sejarah kanta sentuh itu sendiri. Setakat ini, semua jenis material yang anis 'bold'kan di atas ini, tiada kaitan dengan plastik. Saintis sudah mengkaji penggunaan bahan tertentu yang sesuai untuk mata sebelum membuat kanta sentuh tersebut. Setakat ini, semua material kanta sentuh ada perkataan 'hydro' iaitu berkaitan dengan kandungan air dalam bahan. Pada pendapat saya, setakat ini tiada lagi plastik yang dapat menyerap air. Secara logiknya, kanta sentuh mestilah bukan daripada plastik kerana kanta sentuh ada kandungan air. Jadi, pengajaran, pilihlah kanta sentuh yang berkualiti dan dijamin kualitinya.

Soalan 2: Adakah kanta sentuh mudah terbakar???

Jawapan: Kanta sentuh adalah dipakai dihadapan permukaan mata (kornea). Kanta sentuh ini dilindungi oleh kelopak mata dan juga air mata. Tuhan sudah ciptakan refleks berkelip mata yang cukup hebat pada mata sejak lahir lagi (rujuk development motor on babies). Jika anda tidak percaya, cuba tepuk tangan sebelah mata, anda pasti berkelip bukan?? Jadi, moral of the story, bertepuk tangan pun sudah berkelip (refleks tutup mata), inikan pula api (sesuatu yang panas) dan sebagainya, semestinya mata akan tertutup rapat. Air mata pula berfungsi untuk agen penyejuk untuk mata jika terdedah dengan haba. Secara logiknya, jika kanta sentuh terbakar, bermaksud keseluruhan muka atau mata juga akan terbakar. Bagaimana boleh berlaku kebakaran 'setempat' atau local iaitu dihadapan mata sahaja. Mungkin dalam cerita ini, pesakit meraung kesakitan akibat banyak kawasan lain juga yang melecur jika difikir secara logiknya. Wallahualam...

Soalan 3: Apakah pendapat anis tentang penggunaan kanta sentuh semasa barbecue???

Jawapan: Seperti anis katakan tadi, kanta sentuh diperbuat daripada material yang mempunyai air. Air sifatnya boleh menyejat. Bukan sahaja di party barbeceu, dimana-mana sahaja yang panas dan kering kanta sentuh akan mudah menyejat dan kering. apabila kering, mata cuba berkelip dengan cepat supaya boleh meratakan air mata ke seluruh permukaan depan mata. Di dalam keadaan yang kering inilah, kanta sentuh ini boleh 'melompat' atau 'terpelanting' keluar daripada mata. Jadi secara logiknya, semasa kejadian ini kebakaran ini berlaku, mungkin kanta sentuh ini sudah lama 'terpelanting' keluar. Yang tinggal hanyalah 'naked eyes' sahaja pada masa itu. Kebakaran itu berpunca daripada mata yang terbakar dan bukannya 100% daripada kanta sentuh.

Soalan 4: Saya ngeri melihat gambar yang dipaparkan tentang kebakaran kanta sentuh itu, teruk sangat. Bagaimana ianya terjadi???

Jawapan: Jika anda google sahaja tajuk komplikasi kanta sentuh, nescaya akan keluar gambar mata yang mengerikan seperti ini. Namun percayalah satu pun tiada satu pun kesan kebakaran. Kebanyakan kes komplikasi kanta sentuh itu akibat jangkitan kuman dan bukannya kebakaran. jika ada pun, ianya adalah kes terpencil.

Kebanyakan komplikasi adalah daripada jangkitan kuman.

Soalan 5: Apakah komen anis tentang cerita ini dari sudut optometri???

Jawapan: Sebelum anis jelaskan dengan lanjut, suka anis terangkan di sini cerita ini juga kurang jelas juga. Dalam cerita ini ada mengatakan bahawa selang beberapa ketika, mangsa meraung kesakitan. Jika difikirkan logik, di hadapan mata jika dapat dilihat dengan mata kasar, ianya seperti satu permukaan yang banyak diselaputi saraf. Jika terdapat sebarang kecederaan, pastinya mangsa akan terus meraung secara 'schizophrenically' akibat kecederaan pada kawasan depan mata tersebut. ianya amat sakit. Cerita ini amat samar-samar dan sukar dinyatakan sebabnya. Apa yang saya harapkan jika ianya betul-betul berlaku, rawatan kecemasan yang sepatutnya perlulah diberikan iaitu menyejukkan kawasan terbakar berkenaan dengan air yang banyak. rujuk pakar dengan segera.

Beginilah struktur sebenar depan mata (kornea)

Jika dapat dilihat, beginilah keadaan sebenar saraf di hadapan mata....terlampau banyak.....

Komen optometri: Ramai berpendapat 'kanta sentuh' itu bahaya. Jika ditanya kepada saya, jawapan saya senang sahaja; 'Bukan semua orang sesuai memakai kanta sentuh, dan bukan semua kanta sentuh sesuai dengan semua orang'. Jadi, untuk mengelakkan anda daripada 'terjerat' dalam situasi kanta sentuh tidak sesuai ini, anda perlulah berjumpa dengan pakar untuk penggunaan kanta sentuh dengan selamat. Insha Allah selamat.

Sharing is caring=))

Tuesday, October 11, 2011

HaRi InTeRaKsi OpToMeTRi UKM 2011

Hari Interaksi Optometri 2011.

Pada tanggal 8.10.2011 yang lepas, telah berlangsung majlis Hari Interaksi Optometri tahun 2011 ini. Majlis tahuanan ini sering kali dilakukan untuk meraikan pelajar tahun satu yang baru sahaja berdaftar baru-baru ini. Tahniah diucapkan kepada pelajar baru tahun 1 atau 'freshie' optometri UKM.

Para pensyarah turut hadir untuk memeriahkan majlis ini.

Acara tahunan kali ini dihadiri oleh para pensyarah dan juga para pelajar. Bermula dengan sesi pendaftaran, para pensyarah dan para pelajar akan dibahagikan kedalam kumpulan mengikut warna masing-masing. Ala-ala rumah sukan macam di sekolah gitu. Anis dapat kumpulan merah jambu. Hati jambu, muka legend la. hahaha......antara kumpulan lain adalah oren, kuning dan hijau.

Acara pijak belon.

Acara tarik tali yang disertai oleh pensyarah dan juga para pelajar.

Inilah freshie tahun ini. jumlahnya sedikit namun tetap meriah.

Kumpulan anis mestilah menang. "pink' boleh!!!.

Bergambar kenangan bersama para pensyarah dan juga freshie.

Objektif merapatkan kerjasama dalam kumpulan juga tercapai.

Selepas sarapan bersama dan juga senam robik, pelbagai acara sukaneka diadakan. Antaranya pijak belon, isi air dalam botol menggunakan tempurung, tiup belon dan cari gula-gula dalam tepung dan juga acara tarik tali.

Bergambar kenangan bersama junior-junior.

Belajar bukanlah matlamat semata dalam bidang optometri ini. Pelajar optometri perlu juga melepaskan stress belajar dengan mengadakan aktiviti seumpama ini. Antara objektif utama majlis inia dalah untuk meraikan pelajar baru dan merapatkan hubungan antara senior dan junior ini. Tidak dinafikan segala objektif tercapai. Majlis ini memang akan dianjurkan secara tradisi oleh pelajar optometri UKM tahun kedua. Tahniah buat warga kerja majlis ini.

Mungkin ini Hari interaksi ke-4 dan terakhir sepanjang berada di UKM ini....


Friday, October 7, 2011

PeNgaLaMaN PoStiNg Di HosPitaL SeLaYanG


Sebut sahaja Hospital Selayang, apakah yang terlintas di minda anda?? Adakah persekitaran hospital yang besar dan luas?? Doktor-doktornya ataupun UitM??? Bagi saya, saya ingat pengalaman posting saya di sana. Apa yang dilakuakan di sana. Di Hospital Selayang sebenarnya merupakan sebuah hospital kerajaan yang amat baik fasiliti dan cukup kepakarannya. Bagi kepakaran mata ini, anis mencadangkan hospital ini untuk sebarang pembedahan juling. Pakar di hospital ini adalah antara yang terbaik.

Pakar pembedahan untuk juling ada dijalankan di sini.

Juling boleh dibetulkan melalui pembedahan.

Anis kali ini ingin keluar ke arah Selayang. Kali ini anis mencuba kenderaan awam lain iaitu bas pula. Anis menaiki bas metro 50 atau 55 utnuk ke Hospital selaayang. Bas ini boleh didapati di Jalan Ipoh. Masa yang diambil lebih kurang 45 minit. satu perjalanan yang amat memenatkan. Namun demi kes pesakit, anis gagahkan juga langkahnya. namun usaha kami tidak sia-sia. 

Sampai sahaja disini, banyak pesakit sudah belegar-legar di ruang menunggu. pelbagai kes yang dijumpai daripada kes ringan sehinggalah kes yang  berat. Semua kes ini ditangani dengan cekap dengan kerjasama yang bagus antara doktor dan juga pakar mata di sini.

Lawatan ini anis bagi 3.5 bintang daripada 5.

Sesiapa yang ingin ke sini, inilah alamatnya:-
Hospital Selayang, 
68100 Batu Caves, 
Selangor.

Mudah untuk dilawati dengan kenderaan dengan menggunakan jalan raya. 

Selamat mencuba.

PeNgaLaMaN PoStiNg Di HosPitaL MaTa TuN HuSeiN OnN


Kini pengalaman posting di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn atau lebih dikenali sebagai Tun Hussein Onn National Eye Hospital (THONEH). Hospital ini banyak mengendalikan kes seperti katarak, penyakit melibatkan dalam mata seperti pendarahan mata akibat kencing manis dan juga bengkak belakang mata. Pakar yang mengendalikan kes di sini begitu cekap persis doktor di hospital yang bertaraf antarabangsa juga. Semuanya boleh dikendalikan dengan pantas dan tepat rawatannya. 

Namun bagaimanakah jika anda ingin kesini??
Jika anda ingin memandu sendiri, inilah alamatnya:-
Hospital Mata Tun Hussein Onn, 
Lorong Utara (B), Seksyen 52, 
46200 Petaling Jaya,
 Selangor.

Lokasinya amat strategik yang mudah dicapai dengan mengguanakan kenderaan sendiri ataupun dnegan  kenderaan awam.

Anis kali ini memilih untuk menggunakan pengangkutan awam Putra LRT. Mudah sahaja. Anis akan menaiki Putra LRT yang menghala ke arah Kelana Jaya. Anis naik LRT daripada stesen Kampung baru dan turun di stesen Asia. Memang hospital mata ini tidak jauh daripada stesen ini. Nampak sahaja hospital ini daripada stesen LRt tersebut. 

Kenderaan awam yang terdekat adalah PUTRA LRT

Di perkarangan Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Daripada stesen LRT ini anis jalan kaki sahaja menuju ke hospital tersebut. Suasana hospital ini amat tenang kerana lokasinya agak jauh daripada hiruk pikuk kota. Jadi, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan rawatan mata dengan harga yang berpatutan, silalah berkunjung ke hospital ini. Rawatannya juga amat memuaskan. 

Posting = Lawatan sambil belajar = Jalan-jalan cari ilmu....

Untuk posting kali ini, anis berikan 4 daripada 5 bintang...

Selamat mencuba....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...